KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia wajar meneroka peluang yang besar dalam pasaran negara Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, negara RCEP mewakili 30 peratus jumlah penduduk dunia dan 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, sekali gus menjadikannya blok perdagangan terbesar di dunia.
“Kerjasama ekonomi antara negara yang memeterai RCEP akan menjadi penting untuk pertumbuhan serantau. Ini (RCEP) adalah pasaran besar dengan potensi besar yang mesti dimanfaatkan oleh syarikat di Malaysia dan China,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian antara Nusantara-Sino Global Holdings Sdn Bhd (NSGH) dengan Sichuan Logistics Group serta pemeteraian surat hasrat (LOI) antara NSGH dengan sekutu perniagaan dari Malaysia secara maya hari ini.
Mengulas mengenai kerjasama yang dimeterai itu, Mustapa berkata, ia bukan saja mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara China dan Malaysia, tetapi menyumbang hubungan yang lebih erat antara rakyatnya.
Beliau berkata, dari segi perdagangan dan pelaburan, China rakan dagang terbesar negara ini sejak 2009 dengan jumlah perdagangan antara China dan Malaysia berjumlah 18.6 peratus daripada perdagangan antarabangsa Malaysia pada 2020.
Katanya, China menguruskan pandemik COVID-19 dengan jayanya, menjadikannya negara yang mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 2020 dengan KDNK benar berkembang 2.0 peratus.
China juga, jelasnya, mencatatkan pertumbuhan pada 2021 dengan KDNK benar melonjak pada paras rekod sebanyak 18.3 peratus pada suku pertama.
NSGH adalah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan organisasi bukan kerajaan (NGO), Majlis Perunding Melayu (MPM) dan One Belt One Road South East Asian Alliance (OBORSEANA) untuk membuka gerbang ekonomi bagi diterokai oleh usahawan Malaysia.
Sumber:
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/05/820972/firma-malaysia-perlu-teroka-pasaran-rce